Semporna

             Menyusuri perkampungan Bajau Laut di Semporna, Sabah. Kanak-kanak berlari melompat ke laut dengan ceria, tanpa risau akan apa-apa.              

             Kisah kaum Bajau Laut ini sedikit berbeza daripada mereka sang pelarian. Mereka bukan mangsa peperangan yang lari ke negara lain demi menyelamatkan diri mahupun mangsa penindasan berbentuk fizikal dan senjata. Kaum Bajau Laut ini merupakan penduduk laut yang berasal dari Filipina. Mereka telah mendiami kawasan laut dan perairan sepanjang hidup mereka, menetap di dalam bot dan perahu, dan kerap berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain.

             Hingga kini, jumlah Bajau Laut yang berada di Malaysia, perairan Sabah khususnya mencecah 50,000 dan telah menetap di perairan Sabah selama lebih 50 tahun. Walaupun sejumlah besar kaum Bajau Laut masih hidup di lautan, terdapat juga sejumlah besar yang sudah mula hidup berhampiran dengan daratan sesuai dengan peralihan masa dan permodenan, contohnya Kg. Bangau-Bangau dan Kg. Halo yang merupakan kampung atas air di Semporna yang sudah tertubuh selama lebih 20 tahun.

            Biarpun tempoh yang sudah agak lama, mereka masih tidak mendapat kerakyatan yang sah sebagai warganegara Malaysia. Perkara ini turut menyebabkan masyarakat Bajau Laut tercicir mendapatkan pendidikan serta peluang pekerjaan dalam mana-mana sektor kerana tidak mempunyai kad pengenalan dan sijil lahir.

            Pada bulan Ogos 2017, 1M4T bersama sama dengan Teach For The Needs turun ke perkampungan Bajau Laut bagi melihat sendiri cara hidup serta perkembangan pendidikan mereka. Jujur kami katakan, kehidupan mereka  amatlah gembira dalam dunia sendiri. Mereka sendiri tidak tahu apa mereka rakyat Malaysia atau tidak, malah apa Malaysia itu sendiri.

            Ketika ini, sebuah sekolah sementara telah dibuka di surau Kg. Bangau Bangau, menempatkan 30 orang pelajar dan dijalankan oleh individu tempatan sendiri. Selain 30 orang pelajar tersebut, masih ramai lagi kanak-kanak yang tidak bersekolah, tidak pandai menulis dan membaca dan hidup sehari-hari mereka lebih banyak turun ke laut.  

             Kami percaya dengan usaha bersama yang konsisten, pendidikan dapat disampaikan kepada setiap yang berhak mendapatkannya. Kami juga percaya mereka ini lebih daripada sekadar menjadi pelayan di samudera. Pendidikan dan peluang, jika disalurkan dengan betul, dapat mengubah hidup dan membentuk masa depan kaum Bajau Laut ini. Ayuh bersama kami!

1 thought on “Semporna”

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *